KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DI MALAYSIA
MINGGU EPIDEMIOLOGI 47 TAHUN 2022
(20 NOVEMBER – 26 NOVEMBER 2022)
STATUS TERKINI PENGGUNAAN FASILITI KESIHATAN
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin mengumumkan bahawa secara keseluruhan, jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan (hospital dan PKRC) bagi setiap 100,000 penduduk meningkat sebanyak 5.1 peratus pada Minggu Epidemiologi ke-47 tahun 2022 (ME 47/2022) berbanding ME 46/2022 (Rajah 1);
Jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 populasi pada ME 47/2022 berbanding ME 46/2022 adalah seperti berikut (Rajah 2);
- Pesakit kategori 1 dan 2 meningkat sebanyak 3.4 peratus; manakala
- Pesakit kategori 3, 4, dan 5, meningkat sebanyak 4.1 peratus.
Peratus pengisian katil fasiliti COVID-19 pada ME 47/2022 berbanding ME 46/2022 (Rajah 3) adalah seperti berikut:
- Katil bukan kritikal meningkat sebanyak 1 peratus;
- Katil Unit Rawatan Rapi (ICU) meningkat sebanyak 1 peratus; dan
- Katil Pusat Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), sebanyak 69 peratus. Satu (1) PKRC baru dengan kapasiti katil sebanyak 15 katil telah diaktifkan pada ME 47/2022.
Peratusan pesakit COVID-19 memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) meningkat sebanyak 0.2 peratus (Rajah 4) pada ME 47/2022 berbanding ME 46/2022.
PEMANTAUAN COVID-19 DI PUSAT PENILAIAN COVID-19 (CAC)
Untuk makluman, kes-kes positif COVID-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di seluruh negara telah menunjukkan sedikit penurunan berbanding minggu sebelum ini.
Berikut adalah perbandingan data CAC fizikal yang dilaporkan pada ME 46/2022 dan ME 47/2022 (Rajah 5):
- Bilangan kedatangan pesakit ke CAC meningkat sebanyak 8 peratus;
- Bilangan kes COVID-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah turut meningkat sebanyak 9 peratus; dan
Bilangan kes COVID-19 yang dirujuk CAC ke hospital juga meningkat sebanyak 29 peratus jika dibandingkan dengan minggu sebelumnya.
Untuk CAC Maya, jumlah kes yang melengkapkan penilaian kendiri (HAT) menunjukkan penurunan sebanyak 8 peratus pada akhir ME 47/2022 berbanding ME 46/2022; iaitu dari 30,399 kepada 28,052 kes. Dari jumlah tersebut, peratusan individu dengan Kategori 2b dan ke atas adalah 6 peratus (1,778 kes) (Rajah 6).
STATUS TERKINI KES COVID-19
Dari 25 Januari 2020 (ME 4/2020) hingga 26 November 2022 (ME 47/2022), situasi terkini COVID-19 adalah seperti berikut:
- Kumulatif kes baharu: 4,984,272;
- Kumulatif kes sembuh: 4,920,983 kes;
- Kumulatif kes kematian: 36,648 kes; dan
- Kumulatif kluster: 7,152 kluster (kluster aktif: 62 kluster).
Perbandingan antara ME 46/2022 dan ME 47/2022:
- Bilangan kes sembuh pada ME 47/2022 menurun sebanyak19.0 peratus (23,089 kes kepada 18,699 kes) (Rajah 7);
- Bilangan kes baharu pada ME 47/2022 menurun sebanyak 2.5 peratus (19,083 kes kepada 18,606 kes) (Rajah 8);
- Bilangan kes tempatan menurun sebanyak 2.6 peratus (19,068 kes kepada 18,581 kes); dan
- Bilangan kes import meningkat sebanyak 66.7 peratus (15 kes kepada 25 kes).
- Bilangan kes kematian pada ME 47/2022 meningkat sebanyak17.0 peratus (47 kes kepada 55 kes).
- Purata kes aktif setiap hari bagi ME 47/2022 menurun sebanyak 2.8 peratus (27,806 kes kepada 27,020 kes) (Rajah 9).
NILAI RT
Nilai RT pada ME 47/2022 adalah 0.96 (Rajah 10).
SURVELAN INFLUENZA-LIKE ILLNESS (ILI) DAN SEVERE ACUTE RESPIRATORY INFECTION (SARI) BAGI COVID-19
KKM ingin memaklumkan bahawa sehingga ME 47/2022, hasil survelan COVID-19 di lokasi sentinel seluruh negara mendapati:
- Sebanyak 191 sampel ILI dikesan positif COVID-19 dengan kadar positif 24.3 peratus pada ME 47/2022 (Rajah 11); dan
- Sebanyak 1.7 peratus sampel SARI dikesan positif COVID-19 pada ME 47/2022 (Rajah 12).
PERKHIDMATAN PENDISPENSAN UBAT ANTIVIRAL PAXLOVID DI FASILITI KESIHATAN PRIMER
Pusat Penilaian COVID-19 (COVID-19 Assessment Center - CAC) telah memainkan peranan yang penting dalam pendispensan ubat antiviral Paxlovid (PF-07321332 /Nirmatrelvir 150mg Film-Coated Tablets & Ritonavir 100mg Film-Coated Tablets), sejenis ubat antivirus yang telah digunakan untuk merawat jangkitan COVID-19 di fasiliti kesihatan primer. Setiap Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan Keluarga di fasiliti kesihatan primer (CAC dan di klinik kesihatan) yang mendispens Paxlovid, telah dilatih dengan secukupnya agar rawatan yang berkesan dan selamat dapat diberikan kepada pesakit.
Setakat ini, 481 CAC yang menyediakan perkhidmatan ini di seluruh Malaysia. Ubat Paxlovid juga boleh diperolehi daripada 352 klinik dan 85 hospital swasta. Pesakit akan diberikan notifikasi melalui aplikasi MySejahtera dan sistem pesanan ringkas (SMS) untuk mendapatkan penilaian bagi pesakit yang mungkin layak untuk menerima ubat antiviral Paxlovid daripada fasiliti kesihatan primer terdekat di tempat tinggal anda. Sila beri kerjasama mengikut arahan yang diterima bagi mengurangkan risiko komplikasi jangkitan COVID-19 yang lebih teruk. Sekiranya ada sebarang masalah boleh berhubung dengan fasiliti kesihatan berhampiran.
NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19
Sejak 1 April 2022, Malaysia telah berada dalam Fasa Peralihan ke Endemik susulan keberkesanan tindakan pencegahan dan kawalan kesihatan awam. Peralihan fasa ini juga disebabkan oleh kejayaan program vaksinasi COVID-19 di seluruh negara.
Walaupun demikian, KKM ingin menasihati orang ramai agar terus mematuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu;
- Elakkan 3S;
- Amalkan 3W;
- Amalkan TRIIS;
- Jalani ujian COVID-19 sekiranya bergejala;
- Individu positif COVID-19 Kategori 1 dan 2A dan bukan berisiko tinggi (berumur bawah 60 tahun dan tidak mempunyai komorbid), tidak perlu hadir ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), sebaliknya hanya perlumelakukan pemantauan kendiri melalui HAT dalam aplikasi MySejahtera. SMS atau panggilan daripada perkhidmatan Automated Voice Recording (robocall) akan diterima sekiranya belum atau tidak menjalankan pemantauan kendiri setiap hari;
- Individu yang perlu hadir ke CAC terdekat (senarai penuh lokasi, nombor telefon dan waktu operasi boleh didapatkan di https://covid-19.moh.gov.my/hotline) untuk penilaian lanjut akan dimaklumkan melalui MySejahtera atau dihubungi CAC melalui SMS atau panggilan telefon;
- Individu yang positif COVID-19 Kategori 2A (yang berisiko tinggi) dan ke atas atau mempunyai gejala yang semakin teruk, dikehendaki hadir ke CAC atau hospital terdekat bagi pemeriksaan lanjut tanpa menunggu panggilan telefon daripada CAC; dan
- Individu yang belum menerima dos penggalak vaksin COVID-19 dinasihatkan agar segera mendaftar dan mendapatkan vaksin bagi melindungi diri dan orang tersayang.
KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO. KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.
Sekian, terima kasih.
TAN SRI DATO' SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
28 November 2022 @ 2.00 petang
No comments:
Post a Comment