KENYATAAN AKHBAR

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

SEMPENA MINGGU KESEDARAN GARAM SEDUNIA 2022

Dianggarkan kira-kira 11 juta kematian di seluruh dunia dikaitkan dengan diet yang tidak sihat dan tiga juta daripada jumlah ini berpunca daripada pengambilan garam yang tinggi. Pengambilan garam yang berlebihan meningkatkan tekanan darah dan seterusnya meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular, strok, kanser dan penyakit buah pinggang, yang merupakan punca utama kematian penyakit tidak berjangkit (NCD) di seluruh dunia.

Di kebanyakan negara berpendapatan tinggi serta sebahagian negara berpendapatan rendah dan sederhana, sumber pengambilan garam utama adalah daripada makanan diproses ultra (ultra-processed food) seperti mi segera, nuget ayam, burger, hotdog, ikan masin, telur masin, makanan dalam tin, kerepek dan keropok. Oleh itu, salah satu cara yang berkesan untuk mengurangkan pengambilan garam adalah melalui reformulasi produk bagi menurunkan kandungan garam dalam makanan tersebut.

Sambutan Minggu Kesedaran Garam Sedunia pada tahun ini disambut pada 14 hingga 20 Mac 2022 dengan tema Tak Masin Tu Ok! Antara kumpulan sasaran utama adalah dalam kalangan industri makanan dengan memberikan pendidikan dan kerjasama berterusan bagi

memastikan mereka komited dalam melakukan reformulasi produk makanan dan minuman agar kandungan garam dapat dikurangkan.

Di samping itu juga, pihak industri makanan diingatkan untuk mematuhi Akta Makanan, 1983 pindaan 2020 yang mewajibkan pelabelan kandungan garam pada produk makanan dan minuman. Berdasarkan hasil tinjauan di pasar raya di Malaysia pada tahun 2017, hanya separuh produk makanan menunjukkan label kandungan garam pada maklumat pemakanan. Pelabelan pemakanan dapat membantu pengguna memahami tentang kandungan nutrisi sesuatu produk makanan atau minuman, dan secara tidak langsung menggalakkan orang ramai membeli makanan yang lebih sihat dan sesuai dengan keperluan.

Di samping itu juga, masyarakat Malaysia disarankan agar menyahut seruan Kementerian Kesihatan Malaysia dengan mengambil langkah-langkah wajar bagi mengawal pengambilan garam seharian:

  • Hadkan pengambilan garam
    • Secara keseluruhan tidak melebihi satu (1) sudu teh sehari termasuk garam tersembunyi bagi mengurangkan risiko hipertensi, sakit jantung, strok, kerosakan buah pinggang dan kanser.
  • Kenali sumber lain garam
    • Garam mengandungi unsur natrium (sodium) dan klorida.
    • Garam juga terdapat di dalam sumber lain seperti Sodium Nitrate, Sodium Bicarbonate, Monosodium Glutamate dan lain-lain. Jadi awasi sumber natrium yang mungkin tersembunyi.
  • Baca label
    • Bandingkan maklumat kandungan natrium (sodium) sebelum membeli makanan.
    • Pilih produk yang lebih rendah kandungan natrium (sodium).
    • Cari jenama dengan akuan "rendah'' atau ''lebih rendah" atau "kurang" garam pada label, jika ada. Gunakan Pilihan Lebih Sihat (HCL) sebagai panduan.
  • Hadkan pengambilan makanan diproses ultra (ultra-processed food)
    • Mi segera, nuget ayam, burger, hotdog, makanan diawet (seperti ikan masin, telur masin dan jeruk), snek tinggi garam (kacang bergaram, kerepek dan keropok) dan makanan lain yang menggunakan perasa tambahan.
    • Makanan diproses ultra (ultra-processed food) adalah makanan yang mengandungi bahan tiruan seperti pewarna, pemanis, perisa, pengawet, pemekat, pengemulsi dan bahan tambahan lain bagi meningkatkan kesedapan dan jangka hayat makanan tersebut. Ia juga tinggi kandungan gula, garam dan lemak.
  • Utamakan perisa semula jadi
    • Gunalah bawang putih, bawang besar, kunyit, halia, serai, daun bawang, daun ketumbar, rempah-ratus dan limau nipis bagi meningkatkan rasa hidangan makanan.
    • Kurangkan garam, sos dan penambah perasa [seperti monosodium glutamate (MSG), pes sedia guna, kiub dan serbuk perasa] dalam masakan.
  • Kerap makan di rumah
    • Ubah suai masakan kepada lebih sihat.
    • Bawa makanan yang dimasak di rumah ke tempat kerja.
    • Sekiranya makan di luar, pesan hidangan kurang garam sebagai norma baru.

Semoga dengan pelbagai usaha yang dijalankan dapat menyediakan persekitaran yang menyokong amalan pemakanan sihat, bersih dan selamat. Pelaksanaan cadangan ini dijangka akan meningkatkan tahap kesedaran dan pengetahuan terhadap kepentingan mengawal pengambilan garam seterusnya memberi impak kepada pengubahsuaian tingkah laku.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO' SERI DR NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

14 Mac 2022